Akhbar Singapura Dengki Tan Sri Syed Mokhtar

SEBUAH akhbar di Singapura pada 30 Disember lalu mendakwa MMC Corporation Berhad (MMC) syarikat senaraian awam milik tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary kini berdepan dengan masalah hutang lebih RM25 bilion.

Sambil memetik pandangan 'seorang ahli politik kanan UMNO' akhbar itu meramalkan bahawa MMC bakal berhadapan dengan nasib seperti Renong Berhad yang runtuh akibat beban hutang yang tinggi sebelum ini.

Biarpun laporan berkenaan memuatkan kenyataan seorang pegawai kanan Syed Mokhtar yang menjelaskan hutang MMC adalah tinggi kerana jenis perniagaan yang diceburinya dan jumlah berkenaan boleh diurus.

Namun, akhbar negara jiran itu mendakwa bank-bank di Kuala Lumpur tidak begitu optimis dengan keadaan tersebut.

''Ini kerana keuntungan dari aset kumpulan berkenaan seperti loji janakuasa adalah rendah dan pelabuhan-pelabuhannya tidak beroperasi dengan baik. Ia berisiko untuk tenat jika ekonomi global lembap," kata akhbar asing itu. Laporan tersebut turut disiarkan dalam portal berita dan beberapa laman blog tempatan.

Sumber yang rapat dengan Syed Mokhtar dalam reaksi terhadap laporan berkenaan sebelum ini menjelaskan dakwaan akhbar republik itu adalah tidak benar dan tidak berasas. Isu hutang milik MMC sengaja dibesar-besarkan. Sumber yang sama tidak menolak dakwaan sedemikian dibuat atas dasar sakit hati.

Apa agaknya yang membuat sebuah akhbar di Singapura begitu sakit hati dengan MMC. Mungkinkah kerana kedudukan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor milik MMC yang begitu hampir dengan pelabuhan Singapura dan sentiasa bersaing.

MMC memiliki tiga aset logistik dan pengangkutan di selatan negara. Selain PTP, MMC turut mengendalikan Pelabuhan Johor dan Lapangan Terbang Sultan Ismail di Senai. Ketiga-tiga aset berkenaan menjadi pelengkap kepada projek koridor pembangunan Iskandar Malaysia di Johor.

Pada 2009, PTP merupakan terminal kontena utama di Malaysia dengan pengendalian kontena sebanyak enam juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) iaitu 7.5 peratus lebih tinggi daripada tahun sebelumnya. Dan pada tahun 2010, jumlahnya meningkat kepada 6.5 juta unit TEU biarpun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

MMC melalui Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. memiliki tanah seluas 1,087 hektar yang akan dibangunkan sebagai Bandaraya Lapangan Terbang Senai. Ia akan menempatkan Taman Hi-Tech Senai yang akan menjadi taman teknologi tinggi kedua selepas Kulim Hi-Tech Park, zon industri bebas, pusat logistik, kawasan kediaman dan komersil. Ia juga berperanan sebagai pemangkin Iskandar Malaysia.

Susulan kejayaan MMC membina terowong SMART bagi mengatasi masalah banjir dan kesesakan lalu lintas di ibu negara Kuala Lumpur, MMC kini sedang melaksanakan projek landasan berkembar elektrik bernilai RM12.5 bilion di antara Ipoh dan Padang Besar. Ia merupakan projek infrastruktur yang terbesar di Malaysia.

Rekod cemerlang dan kepakaran MMC dalam sektor kejuruteraan dan pembinaan menjadi faktor konglomerat itu terpilih untuk melaksanakan projek RM36 bilion transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) Kuala Lumpur.

Projek besar itu bakal menjadi penyumbang utama kepada kejayaan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang yang disenaraikan sebagai salah satu Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA). Projek itu dijadualkan bermula pada Julai 2011 dengan pembinaan fasa pertama yang akan mengambil masa lima hingga enam tahun.

Kepakaran MMC turut diiktiraf di arena antarabangsa terutamanya di Asia Barat. MMC kini bekerjasama dengan Saudi Binladin Group untuk memajukan Kota Ekonomi Jazan bernilai AS$30 bilion atau RM91.8 bilion di Arab Saudi. MMC turut mempunyai kepentingan ekuiti dalam projek loji air dan tenaga di Arab Saudi, Algeria dan Jordan.

MMC mencatatkan keuntungan sebelum cukai bagi sembilan bulan pertama 2010 sebanyak RM733 juta, peningkatan 27 peratus berbanding tahun sebelumnya. Dianggarkan keuntungan sebelum cukai sepanjang tahun 2010 ialah hampir RM1 bilion berbanding RM685 juta pada tahun 2009. Laporan Credit Suisse menjangkakan keuntungan sebelum cukai bagi 2011 MMC sebanyak RM1.4 bilion.

Mungkin pencapaian-pencapaian MMC ini menyebabkan segelintir pihak mengeluarkan laporan tertentu bagi memberikan imej negatif terhadap MMC terutamanya di persada antarabangsa.

Laporan akhbar republik itu menambah, Syed Mokhtar memulakan perniagaan beras Siam sebelum pasaran saham naik pada tahun 1990-an.

''Syed Mokhtar menjadi ahli perniagaan paling digemari kerana sumbangan besar beliau bagi pelbagai kepentingan Islam dan masyarakat. Tahun lalu, syarikat beliau menyumbang lebih RM350 juta untuk yayasan beliau sendiri yang memberikan tumpuan kepada pendidikan dan agama," kata akhbar tersebut.

Jika benar MMC berhadapan dengan masalah kewangan dan aset milik kumpulan berkenaan tidak menjana keuntungan seperti yang didakwa mungkin jumlah sumbangan yang dikeluarkan MMC tidak akan mencecah jumlah itu.

Akhbar negara asing boleh membuat sebarang spekulasi atau menulis sebarang laporan mengikut cita rasa mereka mengenai syarikat-syarikat milik anak tempatan di negara ini. Siapa tahu laporan berkenaan ditulis untuk tujuan dan matlamat tertentu.

Namun adalah tidak adil bagi kita sebagai rakyat Malaysia sendiri untuk menerima bulat-bulat atau terpengaruh dengan spekulasi dan gambaran yang diberikan oleh media negara asing tanpa memeriksa fakta dan mengetahui gambaran sebenar yang berlaku. Sebaik-baiknya betulkan maklumat dan gambaran yang tidak tepat yang dikeluarkan media asing.

1 komen Orang bijak:

Nas said...

Mungkin ada agenda terselindung disebalik kenyataan media tu..kekayaan beliau pada tahun ni juga meningkat mendadak sebanyak RM2 billion kepada RM8.8 billion dan menjadikan beliau orang ke 7 terkaya di Malaysia.

Post a Comment

Terima Kasih atas komen dan idea yang bijak-bijak ini !Anda memang bijak !

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...