KUALA LUMPUR: “Hubungan intim dengan pasangan sejenis menyebabkan saya sanggup mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak kami,” luah pengarah sebuah syarikat berusia 30-an yang hanya mahu dikenali sebagai Julia.
Selain melakukan hubungan terlarang, Julia menghabiskan wang ringgit dan harta benda lebih RM500,000 kepada seorang ‘pengkid’ sedangkan dia masih isteri orang dan mempunyai tiga anak kecil.
Julia mendakwa layanan pengkid dikenali sebagai Az, 40-an, berasal dari utara tanah air itu membuatkan dia leka dan merasa disayangi lebih daripada kasih sayang dicurahkan suaminya.
“Hubungan kami ibarat suami isteri apabila menghabiskan masa setiap hari sejak lima tahun lalu hingga saya mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga.
“Disebabkan kealpaan menjalani kehidupan bersama Az yang bekerja sendiri, rumah tangga saya yang dibina bersama suami atas dasar cinta selama tujuh tahun lalu musnah,” katanya ketika di temui di Bangsar, semalam.
Menurutnya, hatinya terpaut dengan pengkid terbabit kerana memahami jiwanya dan pandai mengambil hati selain belaian romantik yang tidak diberi bekas suami.
“Sejak mengenali pengkid terbabit, hidup saya berubah 100 peratus dan sanggup memberinya sebuah rumah bernilai lebih RM300,000 serta pelbagai barangan mewah lain sedangkan saya tidak pernah berbuat demikian pada anak-anak.
“Kami mendiami kondominium di kawasan elit dan sentiasa bersama termasuk bertemu pelanggan, makan dan tidur sekatil. Bagi saya, saat bersamanya ketika itu detik yang paling bahagia dan bermakna menyebabkan saya tidak mahu berpisah dengannya walaupun sedetik.
“Saya juga tidak berpeluang menjenguk suami dan anak-anak kerana akan berasa ‘panas’ apabila berada di rumah sendiri dan mengikut segala kehendaknya,” katanya yang terpaksa menyerahkan hak jagaan tiga anak kepada ibunya.
Katanya, semua perkara yang mahu dilakukan perlu mendapat kelulusan Az termasuk bertemu pelanggan lelaki dan jika ‘kekasihnya’ itu nampak dia bersama lelaki lain, dia akan diugut menyebabkan perniagaan dibinanya ada kalanya berdepan masalah.
“Semua benda yang dilakukan perlu dirujuk kepada pengkid itu terlebih dahulu. Jika saya ingkar, dia akan memukul dan menendang saya sedangkan bekas suami tidak pernah melakukan perbuatan itu.
“Saya juga wajib memberi wang saku kepadanya RM10,000 setiap bulan selain menaja kos pelancongan luar negara dan membeli barangan berjenama lain. Pendek kata, pengkid itu hanya memesan dan saya akan membayarnya,” katanya.
Katanya, sejak menjalin hubungan, semua wangnya dipegang pengkid terbabit termasuk kad kredit dan kad bank.
“Az juga marah jika saya mahu memberi wang kepada ibu di kampung kerana beranggapan hanya dia layak menerima wang saraan setiap bulan.
“Sebelum ini saya pernah terfikir untuk menjauhkan diri daripadanya, tapi tak berjaya kerana berasa kasihan kepadanya dan kembali semula selepas sehari berpisah.
“Saya tersedar sepenuhnya Julai tahun lalu selepas berubat dengan beberapa ustaz dan cuba menjauhkan diri daripadanya hingga menyebabkan dia tidak puas hati dan membuat pelbagai ugutan termasuk cubaan menjatuhkan perniagaan serta maruah saya,” katanya.
Sejak meninggalkan pengkid itu, Julia berkata Az berusaha memusnahkan hidupnya hingga menimbulkan ketakutan menyebabkan dia membuat laporan polis tiga kali di ibu kota.
“Saya harap dia tidak akan mengganggu hidup saya lagi kerana saya mahu kembali hidup normal. Cukup saya menghambakan diri kepadanya sehingga tersasar daripada landasan agama.
“Apa yang saya tahu, Az kini sudah menemui cinta baru dengan seorang wanita kaya untuk dijadikan mangsa. Dia dan rakan-rakannya sanggup mengikis harta wanita kaya untuk kepentingan diri,” katanya.
1 komen Orang bijak:
org2 camnih lar membunguk kan n membusukkan lagik life pengkid n gf die..!!
Post a Comment
Terima Kasih atas komen dan idea yang bijak-bijak ini !Anda memang bijak !