Apa tidaknya, melintasi tanah perkuburan walaupun disiang hari sudah cukup untuk meremangkan bulu roma.Sebab itu kubur hanya dikunjungi apabila ada pengkebumian atau di pagi hari raya bagi mendoakan mereka yang telah kembali ke alam baka.Pada hari-hari biasa ia diselubungi misteri dan hanya `dihuni’ oleh individu tertentu yang menjadikan kubur sebagai sumber rezeki.
Itulah tugas dan cabaran yang digalas oleh penggali kubur - satu kerjaya yang kadang kala dikaitkan dengan pelbagai cerita seram dan misteri.Tetapi hakikatnya penggali kubur adalah manusia biasa yang bukan setakat mencari rezeki untuk menyara keluarga, tetapi juga bagi menunaikan fardu kifayah.
Namun, ia sudah tentu bukan kerjaya yang menjadi pilihan terutama golongan muda.Ini bukan kerjaya yang menjanjikan keselesaan dengan pejabat yang selesa dan berhawa dingin.Kerana inginkan kerja yang glamor dan selesa, anak-anak muda ramai-ramai meninggalkan kampung berhijrah ke bandar untuk memenuhi kehendak hati dengan alasan mengubah kehidupan.
Maka tinggallah generasi tua untuk melakukan kerja-kerja kampung seperti penoreh getah, pesawah, nelayan dan sebagainya termasuk kerjaya sebagai penggali kubur.Penggali kubur bukanlah satu kerjaya yang diimpi dan dicita-citakan. Selain terpaksa bermandi peluh dan dibakar terik matahari ataupun kadang kala kuyup bermandikan air hujan, saban hari hidup mereka bertemankan persekitaran yang menyeramkan.
Selain menggali kubur, mereka juga akan ‘berurusan’ dengan jenazah dan persekitaran yang berceracak dengan batu nisan.Sebenarnya, penggali kubur adalah insan biasa. Kehidupan mereka dikatakan penuh misteri kerana ia jarang dikongsi dengan orang lain.
Yang menariknya, bagi penggali kubur yang bertugas di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor, mereka merupakan kakitangan kerajaan yang dibayar gaji bulanan.
Mungkin sebelum ini ramai yang terbaca artikel-artikel dalam blog melalui Internet yang menyatakan gaji bulanan sebagai seorang penggali kubur mampu mencecah sehingga ribuan ringgit.Bukan itu sahaja, imbuhan yang mereka terima juga dikatakan mampu mengatasi gaji bulanan seorang eksekutif.
Yang nyata, kenyataan-kenyataan tersebut tidak benar sama sekali dan sekiranya ada pun ia tidaklah sebanyak seperti yang dinyatakan.Hakikatnya penggali kubur di Wilayah Persekutuan dan Selangor diletakkan di bawah pengurusan pihak berkuasa agama negeri.
Gaji bulanan akan dibayar oleh majikan masing-masing dan mereka tidak menerima lebih daripada yang sepatutnya melainkan diberi atau disedekah dengan ikhlas oleh keluarga si mati.
Malah, hari ini jarang terdapat penggali kubur yang dibayar mengikut kubur yang digali.Sebaliknya, kelaziman itu berlaku di kawasan kampung-kampung ataupun di tanah-tanah perkuburan yang diwakafkan.Imbuhan tambahan yang mereka terima mungkin dengan menjual batu-batu nisan atau pembinaan pusara.
Bagi seorang penggali kubur, Shahrum Baharudin, 37, menggali kubur bukan pekerjaan yang diinginkannya.
Tetapi katanya, tugas yang dipikul itu lebih merupakan tanggungjawab kepada masyarakat dan memenuhi tuntutan agama Islam.
Pada asalnya, dia bertugas sebagai penebang pokok di bahagian landskap Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Pada tahun 2004 dia ditukarkan untuk menggali kubur.
Cerita anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor, itu, pada awalnya, dia keberatan untuk menerima pekerjaan baru itu.Malah dia pernah menolaknya sebanyak tiga kali gara-gara terpengaruh dengan cerita-cerita yang kurang menarik yang didengar dan dibacanya.Tetapi lama-kelamaan, dia tidak dapat ‘melarikan’ diri lagi dan akhirnya terpaksa menerima tawaran tersebut.
Bagaimanapun, setelah lama bekerja, Shahrum akhirnya dapat menerima tanggungjawab barunya itu. Hari ini dia seronok dengan kerjaya itu.‘‘Kerja ni nampak macam senang. Hanya gali lubang. Tetapi sebenarnya ia juga memerlukan pengalaman dan kemahiran kerana kita berurusan dengan jenazah. Kita sedia maklum jenazah juga perlu dihormati ketika dikebumikan.
‘‘Saya sebenarnya bernasib baik kerana sebelum saya ditukar kepada pekerjaan hari ini, saya telah mempelajari selok belok bagaimana hendak menggali kubur dan cara mengendalikan jenazah daripada orang lama yang lebih berpengalaman,’’ katanya yang bekerja menggali kubur di Tanah Perkuburan Orang Islam, Seksyen 9, Kota Damansara sejak tujuh tahun lalu.
Bagi Mat Sufian Abd Hamid, 45, pula, dia mula melakukan pekerjaan tersebut seawal usia 20 tahun dan segala-galanya berlaku tanpa dirancang.Ini kerana, pada awalnya dia hanya membantu bapa mertuanya yang merupakan seorang penggali kubur dan akhirnya menjadikannya sebagai kerjaya tetap sehingga hari ini.
Menurut anak kelahiran Ijok, Batu Kurau, Perak itu, dia telah menjaga Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Damansara, Kuala Lumpur dan tanah perkuburan di Masjid Negara lebih daripada 20 tahun.Baginya, tugas itu bukan sekadar sumber pendapatan, malah menjangkaui tuntutan agama, di samping melaksanakan tanggungjawab kepada Allah S.W.T.
‘‘Mula-mula dulu, sebelum saya diserapkan di dalam kerajaan, elaun yang diterima hanyalah RM381 sebulan dan ini bukan gaji kerana saya hanyalah pekerja kontrak.‘‘Kini, setelah setahun diserapkan di dalam kerajaan, gaji bulanan saya dibayar oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Alhamdulillah, gaji baru ni bolehlah nak sara keluarga,’’ ujar bapa kepada tujuh orang cahaya mata itu.Tambah Mat Sufian, kerjanya yang merupakan tuntutan agama dan kehendak masyarakat kadang kala membataskan waktunya untuk bercuti bersama keluarga.
Malah, dia tidak pernah bercuti termasuklah pada hari raya.Begitulah kerja seorang penggali kubur yang tidak mengira pagi, petang, siang atau malam, panas atau hujan kerana jenazah perlu dikebumikan segera.Katanya, ada kalanya permintaan ahli keluarga sukar ditolak kerana memikirkan keadaan jenazah yang perlu segera dikebumikan, walaupun pada waktu tengah malam.
Yang jelas, menurut kedua-duanya, sepanjang mereka menjalankan tugas belum lagi mengalami perkara-perkara pelik dan menggerunkan.Bagaimanapun, ulas mereka berdua lagi, untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini, mereka perlu melakukan tugas dengan hati yang bersih, di samping menjaga mulut agar tidak celupar. Semua itu penting dalam aspek pengurusan dan pengkebumian jenazah.
Yang pasti, walau tidak menjanjikan pendapatan lumayan, namun hasil titik peluh mereka yang dilakukan dengan ikhlas mampu menjanjikan kehidupan yang selesa seperti orang lain.
-Utusan
0 komen Orang bijak:
Post a Comment
Terima Kasih atas komen dan idea yang bijak-bijak ini !Anda memang bijak !