Melayu Singapura Kata Tun Mahathir Nyanyuk


Akhbar Berita Harian Singapura telah menyiarkan beberapa surat daripada pembacanya sepanjang minggu lepas yang mengecam Dr. Mahathir kerana sering memberi ulasan mengenai nasib Melayu republik itu yang terpinggir dan ketinggalan.

SINGAPURA 20 Jan. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi topik hangat di sini apabila ulasannya mengenai nasib Melayu Singapura menjadi polemik dan mendapat kritikan pedas beberapa orang Melayu setempat.

Akhbar Berita Harian Singapura telah menyiarkan beberapa surat daripada pembacanya sepanjang minggu lepas yang mengecam Dr. Mahathir kerana sering memberi ulasan mengenai nasib Melayu republik itu yang terpinggir dan ketinggalan.

Dalam ruangan forum akhbar itu, seorang pembaca, Sallim Ahmad menulis bahawa beliau rasa tercabar mengikuti ulasan Dr. Mahathir yang membuat kenyataan yang tidak berasas bahawa Melayu republik itu terpinggir dan tertinggal.

"Inilah hujah kegemarannya yang pedas dan luncas setiap kali mempersoalkan masalah yang menghambat Melayu Malaysia yang belum lagi terpinggir pada logika Dr. Mahathir.

"Kekerapan ungkapan yang menjadi sandarannya ialah menegaskan bahawa Melayu Singapura terpinggir sehingga akhir dunia," katanya.

Beliau berkata, Dr. Mahathir yang terbuai dengan populariti di alam siber dan blog suka menggunakan Melayu Singapura sebagai contoh.

Penulis itu juga mempertahankan kedudukan Melayu Singapura dengan menyatakan kaum itu maju tanpa menagih subsidi dan kedudukan agama Islam di sini terpelihara dan berkembang walaupun ia bukan agama rasmi.

"Kita tidak kontang jenayah, tapi yang ditugaskan beramanah. Rasuah di sini wujud tetapi tahapnya tidak mengejut. Sumbang mahram itu keji, dahsyat lagi buang bayi. Mat Rempit bukan hambatan, tabiat lepak bukan amalan," katanya.

Seorang lagi pembaca, Kamariah Lim Li Hwa menegur Dr. Mahathir bahawa sebelum membuat apa-apa kenyataan tentang orang Melayu Singapura, diharap beliau menyelidik dulu keadaan orang Melayu di sini.

"Kami orang Melayu Singapura berasa senang hati dan bersyukur kerana pemerintah Singapura menjalankan amanah dengan telus," katanya.

Menurutnya, walaupun Singapura bukan negara Islam, kebanyakan undang-undang di sini tidak ada bercanggah, malah sejajar dengan ajaran Islam.

Kamariah berkata, kemungkinan Dr. Mahathir (bersikap demikian kerana) berurusan dengan seseorang individu (rakyat Singapura) yang tidak berpuas hati atas beberapa dasar pemerintah Singapura kerana tidak dapat memenuhi kepentingan diri sendiri.

Seorang lagi pembaca, Eusope Musawa menulis, Melayu Singapura hidup dengan selesa dan 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi' dan mereka ada kebebasan dalam hal agama serta pelajaran mereka juga setaraf dengan penduduk masyarakat lain.

"Tun Dr. Mahathir sepatutnya menasihatkan orang Melayu Malaysia agar belajar daripada orang Melayu Singapura, bagaimana boleh maju. Saya berharap kenyataan beliau akan membakar semangat orang Melayu setempat untuk terus maju," tulis Eusope.

Bagaimanapun, seorang pembaca yang menamakan diri beliau, Walid Jumblatt Abdullah menulis dalam forum akhbar itu semalam bahawa beliau amat gembira sekali apabila melihat kaum Melayu Singapura bergegas menyangkal kritikan Dr. Mahathir.

Katanya, alangkah baiknya kalau masyarakat Melayu begitu cepat sekali bertindak ketika masalah seperti keluarga pincang, keruntuhan akhlak, keputusan pelajar kurang memuaskan berbanding kaum lain dan sebagainya timbul untuk menangani masalah tersebut.

Menurutnya, memang tidak dinafikan, Dr. Mahathir sering mengeluarkan kenyataan kontroversial dan tidak semestinya semua dinyatakan beliau adalah benar.

Namun, katanya, setiap manusia ada kelemahannya dan beliau amat terkejut apabila melihat surat mengutuk Dr. Mahathir, malah ada yang menggunakan kata-kata agak keras sehingga mengecapnya sebagai 'seorang tua yang nyanyuk'.

Walid berkata, walaupun jika seseorang yang mempunyai pandangan yang berbeza dengan orang lain, tidak perlulah digunakan bahasa sedemikian kerana sikap serupa itu memang bukan daripada budaya Melayu itu sendiri. - BERNAMA

Katanya. Dr. Mahathir adalah satu-satunya pemimpin Melayu yang dikenali di seluruh dunia, bahkan beliau disanjung dalam Dunia Islam.

"Walaupun beliau mempunyai kekurangan sendiri, beliau terlalu banyak berjasa kepada dunia Islam. Sering sekali beliau memperjuangkan isu-isu yang tidak sama sekali diperjuangkan oleh pemimpin Islam di mana-mana sahaja seperti isu Bosnia (Herzegovina), Kosovo, Somalia, Sudan, Palestin dan lain-lain lagi," katanya.

Menurutnya, Dr. Mahathir dicalonkan oleh empat kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) dari Bosnia-Herzegovina, dua daripada empat kumpulan ini adalah kumpulan Kristian untuk memenangi Hadiah Keamanan Nobel pada 2007.

"Setahu saya, beliau pemimpin Melayu pertama dicalonkan bagi anugerah penghargaan tersebut," kata Walid.

Mengulas komen seorang pembaca yang mengatakan tidak ada pembangunan bagi orang Melayu di bawah kepimpinan Dr. Mahathir, Walid bertanya, tahukah anda bahawa kadar kemiskinan di Malaysia telah dikurangkan sebanyak 80 peratus sewaktu Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri? Bahkan, katanya, kemajuan Malaysia diiktiraf seluruh dunia sehinggakan negara itu digelar sebagai 'Harimau Asia' oleh IMF (Dana Kewangan Antarabangsa) kerana kemajuan ekonominya.

Walid berkata, Dr. Mahathir telah menaikkan martabat bangsa Melayu di mata dunia.

"Janganlah kita dibutakan kebencian kita terhadapnya sehingga kita tidak mengiktiraf jasa beliau kepada dunia Melayu dan dunia Islam. "Juga, janganlah dengan kita mengambil sikap defensif terhadap kritikan orang luar. Kita tidak melihat masalah dan kekurangan masyarakat kita sendiri," katanya.—BERNAMA

4 komen Orang bijak:

Anonymous said...

Nasib baik saya bukan Melayu Singapura. Buku Dilema Melayu sebahagian besarnya telah membuka mata dan hati orang Melayu Malaysia. Kalau Lee Kuan Yew mengharamkan Buku itu masuk Singapura,, minta tolong kawan-kawan kita kat tambak tu kempen Melayu Sigapura datang ke Perpustakaan kat Johor Bharu daripada berlegar di Bandaraya JB dan membuang sampah merata-merata.

Anonymous said...

Malaysia,Tanah Tumpah Darahku

Anonymous said...

come on...berapa byk masjid yg anda tahu di singapura??? malaysia jgn kira byknya...kat sana nak azan pun susah..jgn tipulah....kena pijak dgn kaum *tut

Anonymous said...

buku dilema singapura...karya Dr lily Zubaidah...ank bekas presiden Yusuf Ishak telah membuktikan segale2nye tentang PEMINGGIRAN POLITIK DAN PELAJARAN BANGSA MELAYU SINGAPURA...dh terang dan jelas korg masih lg nk tegakkan benang yang basah...adukhai....

Post a Comment

Terima Kasih atas komen dan idea yang bijak-bijak ini !Anda memang bijak !

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...