NEW YORK - Lintah darat atau 'ah long' di New York, Amerika Syarikat (AS) lebih bijak mengatur strategi bagi mengelakkan mereka gulung tikar berbanding industri perbankan ketika krisis kewangan melanda, lapor sebuah akhbar semalam.
Seorang 'ah long' dikenali sebagai Benny menyatakan perniagaannya berdepan risiko sama seperti institusi perbankan yang meminjam wang kepada golongan yang sukar melakukan pembayaran balik atau dipanggil subprima.
Namun, tidak seperti bank-bank yang 'manja' apabila mengharapkan dana awam daripada pelan penyelamat kerajaan bagi mengelakkan muflis, Benny pula melakukan perubahan radikal terhadap cara dia beroperasi.
"Saya tidak bimbang apabila ramai orang meminjam wang daripada saya, apa yang saya bimbang ialah sama ada mereka dapat membayarnya balik," kata Benny yang berusia 40 tahun di 'pejabatnya' di Bronx, kawasan penempatan etnik kulit hitam di Manhattan, New York.
"Mulai hari ini, saya akan mengutip barangan berharga selain wang tunai seperti barangan kemas, emas atau rantai berlian sebagai cagaran," tambahnya.
Benny yang memberikan pinjaman antara AS$100 (RM350) hingga AS$200 (RM700) dan mengenakan faedah AS$50 (RM175.20) seminggu, meramalkan kesan kemelesetan ekonomi tidak akan menggugat pelanggannya dalam tempoh seminggu dua ini.
Menurut 'ah long' kecil-kecilan itu, dia lebih mesra pelanggan dan peminjam-peminjam tidak perlu bimbang akan dipukul jika gagal membayar balik hutang mereka.
"Tindakan seperti itu dilakukan oleh 'ah long' besar yang memberikan pinjaman antara AS$5,000 (RM17,520) hingga AS$10,000 (RM35,040).
"Mereka kini menggunakan khidmat gorila untuk mengutip hutang," jelasnya berseloroh.
Benny berkata, lintah-lintah darat di Midtown dan pusat kewangan Wall Street, New York kini terjejas teruk dan turut menerima tempias kesan krisis kewangan yang menimpa AS .
"Ramai eksekutif bank dan broker pelaburan yang meminjam daripada 'ah long' kerana hutang judi sukar membayar balik pinjaman termasuk kalangan penagih kokain yang hilang kerja," jelasnya.
Seorang lagi 'ah long,' yang dikenali sebagai Tanda, berusia 40 tahun dan beroperasi di Manhattan, New York berkata, dia terpaksa menurunkan kadar faedah hingga 50 peratus ketika lonjakkan harga minyak bagi menggalakkan lebih ramai peminjam.
Tanda menyatakan kebanyakan mereka yang berhutang dengannya terdiri daripada peniaga kecil, pemandu teksi dan kadang-kadang pengedar dadah.
"Mereka pernah menghadapi masa sukar, sekarang ini mereka tidak dapat meminjam daripada bank. Oleh itu, mereka meminjam dengan saya.
"Sesetengah 'ah long' melihat krisis kewangan ini sebagai peluang untuk mengenakan faedah lebih tinggi tetapi saya melakukan sebaliknya. Cara itu menguntungkan kerana perniagaan saya lebih dikenali dan ramai pelanggan kembali berurus niaga," jelasnya
Tanda berkata, dia mengenakan faedah AS$200 (RM700) seminggu bagi pinjaman AS$500 (RM1,750) dan $400 (RM1,400) seminggu bagi hutang berjumlah AS$1,000 (RM3,500) manakala pinjaman maksimum ialah AS$5,000 (RM17,520) .
"Wall Street patut belajar daripada saya. Saya tidak pernah memberi pinjaman yang saya khuatir tidak akan dapat dibayar balik dan saya rugi hanya sedikit," ujarnya. - Agensi
Kosmo
0 komen Orang bijak:
Post a Comment
Terima Kasih atas komen dan idea yang bijak-bijak ini !Anda memang bijak !